Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh dan salam sejahtera. Selawat dan salam buat Rasul junjungan Muhammad s.a.w. Semoga Allah s.w.t. sentiasa merahmati dan memelihara kita semua. Insya Allah.
Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan keizinan-Nya, Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) kini masih gigih melangkah dalam usaha mencapai misi dan visi yang dicita-citakan.
Berkat doa dan kesungguhan usaha yang berpadu di kalangan kakitangan serta pihak luar yang banyak menyokong dan membantu, kini KTD berjaya menapak satu langkah lagi kehadapan dengan bertambahnya bilangan pelajar-pelajar yang mendaftar sehingga mencecah hampir dua kali ganda dari jumlah yang sebelumnya. Tahniah dan selamat datang kepada 360 pelajar yang baru mendaftar di KTD bagi sesi Julai 2008 yang lalu. Semoga Allah s.w.t. menilai usaha kalian dalam kesungguhan menuntut ilmu dan pengalaman untuk menjadi insan yang berguna dan mampu menyumbang kepada masyarakat. Insya Allah.
Tahniah juga diucapkan kerana dalam puluhan ribu pelajar yang berjaya ke IPTA walaupun bukan kalian di antara mereka, namun berkat kesungguhan dan keinginan yang ada langsung tidak mematahkan semangat dan manghalang cita-cita anda untuk cemerlang.
Ini kerana kebiasaannya, kebanyakan pelajar yang tidak berjaya ke IPTA, sebahagian mereka tidak mahu lagi belajar kerana memikirkan yuran belajar yang mahal di IPTS walaupun hakikatnya persepsi ini kurang tepat. KTD sedia membantu pelajar miskin yang berkeinginan tinggi untuk cemerlang. Asalkan sahaja memenuhi syarat kemasukan serta berkemahuan tinggi untuk berjaya Insya Allah perkara yang sukar akan terlerai.
Alhamdulillah pada dua semester lalu kita berjaya mencapai kelulusan seratus-peratus dalam semua program francais UTM. Di samping doa dan kegigihan para pensyarah serta kakitangan lain dalam mendidik sikap pelajar, di samping kesedaran dan kesungguhan individu pelajar itu sendiri sangat memainkan peranan dalam memastikan kejayaan ini.
Kemiskinan bukanlah penghalang untuk melakar cita-cita dan menggapai kejayaan. Bagi pelajar yang benar-benar kurang berkemampuan, pihak KTD melalui Tabung Pendidikan Pelajar menyediakan bantuan bulan bagi meringankan beban pelajar sementara menunggu kelulusan pinjaman MARA atau PTPTN mereka.
Sehingga kini seramai 260 orang pelajar telah mendapat bantuan ini yang membolehkan mereka menampung pembiayaan harian seperti makan minum dan tempat tinggal. Alhamdulillah.
Berbalik semula kepada isu kecemerlangan. Antara kunci kejayaan para pelajar ialah berusaha bersungguh-sungguh, semangat yang tinggi serta doa yang tidak putus kepada Allah s.w.t. Bagi membangunkan peribadi pelajar yang cemerlang, KTD menyediakan program pembangunan insan bagi menguruskan program pembangunan sahsiah terpuji (PESAT) yang wajib dihadiri dan fasilitator dilantik dari kalangan profesional dan pendidik dari luar KTD serta pelajar yang berkepimpinan dan berpotensi tinggi.
Di samping penekanan sahsiah pelajar, KTD juga menekankan kemahiran insaniah (soft skill) bagi melatih para pelajar membangun potensi diri seperti kerja berpasukan, berkomunikasi sama ada dalam pengucapan umum ataupun dalam kelompok kecil dan juga dalam pengurusan sama ada dalam persatuan, diri sendiri dan lain-lain.
Selaras dengan harapan dan cita-cita KTD untuk melahirkan pelajar profesional muslim, penekanan dalam akademik juga ditekankan melalui Program Penasihat Akademik (PA). Saya sering mengingatkan para pelajar dengan kata-kata ini, “Belajar biar pandai, perangai biar berakhlak dan hidup biar orang lain boleh tumpang (menyumbang kepada orang lain)”. Orang profesional tetapi tidak berakhlak akhirnya akan rosak. Manakala akhlak yang baik tapi tidak boleh memberi manfaat maka tidaklah mencukupi. Biarlah pelajar-pelajar KTD yang keluar ke masyarakat sebagai profesional yang mempunyai kesedaran untuk membantu orang lain sehingga membentuk mata-mata rantai yang bantu-membantu. Saya juga yakin bahawa kesedaran ini akan lahir melalui proses pendidikan yang sistematik.
Walaupun demikian, untuk mencapai kejayaan pastinya ada ujian. Di mana jua kita berada pastinya akan berhadapan dengan cabaran. Begitu jugalah dalam usaha membangunkan KTD ini. Walaupun KTD hanyalah IPTS yang masih kecil, namun di sebalik itu tersembunyi cita-cita yang besar untuj menjadi sebuah IPTS yang unggul di peringkat dunia.
Ini kerana tanggungjawab pendidikan adalah tanggungjawab kita bersama dan segala yang besar itu bermula dari yang kecil. Cuma masanya sama ada cepat atau lambat. InsyaAllah, kami di KTD mengalu-alukan kerjasama dari semua pihak untuk berganding bahu bersama-sama KTD membina kecemerlangan pendidikan di bawah redha Ilahi.
