Kolej Teknologi Darulnaim

MAJLIS KONVOKESYEN KE-4, KOLEJ TEKNOLOGI DARULNAIM

Pengkalan Chepa, 16 Ogos- Majlis Konvokesyen kali ke-4 Kolej Teknologi Darulnaim telah berlangung dengan jayanya bertempat di Dewan Utama Kolej Teknologi Darulnaim (KTD). Majlis konvokesyen tersebut berlangsung pada 16 Ogos 2016 bersamaan 13 Zulkaedah 1437H bermula jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengahari menyaksikan penganugerahan diploma kepada 63 orang graduan KTD dari pelbagai kursus seperti Diploma Multimedia (DMM), dan Diploma Pengurusan Perniagaan (DPP). Selain itu, ibu bapa para graduan dan seramai 30 orang VIP telah dijemput bagi memeriahkan lagi majlis konvokesyen ke-4.  

Majlis Konvokesyen dimulakan dengan perarakan masuk para graduan diikuti dengan pensyarah dan dif-dif kehormat. Seterusnya majlis berlangsung dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Selamat Sultan dan lagu rasmi KTD. Bacaan doa oleh Ustaz Wan Muhammad Silmi Hamzah dan bacaan ayat suci Al-Quran oleh pelajar yang bernama Mohd Fitri bin Abdullah melengkapkan lagi pelancaran majlis tersebut. Majlis Konvokesyen diteruskan lagi dengan ucapan pengisytiharan pembukaan Majlis Konvokesyen ke-4 oleh Tuan Haji Abdul Rahim bin Hussain, Pengurus Hal Ehwal Akademik Pelajar dan ucapan alu-aluan oleh YBhg. PM Dr. Nik Kamaruzzaman Abdul Latif, Ahli Jawatankuasa Pengelola KTD.

Ucapan perasmian Majlis Konvokesyen ke-4 oleh YBhg. Dato’ (Dr.) Hussamuddin bin Yaacub iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf telah menarik minat para hadirin yang hadir dengan menekankan slogan “belajar biar pandai, perangai biar juruh dan hidup biar boleh tumpangkan orang lain”. Beliau juga mengumpamakan seperti komputer yang mempunyai operating system untuk melancarkan proses komputer, begitulah juga pelajar memerlukan Al-Quran sebagai operating system untuk melancarkan perjalanan hidup mereka. Di samping itu, beliau sempat berkongsi kata-kata semangat dari ayah beliau iaitu “kamu mesti ada visi yang jauh untuk berjaya, iaitu bukan hanya berjaya di dunia tapi mati biar boleh masuk syurga”. Ini menunjukkan bahawa hidup berlandaskan Al-Quran amatlah dituntut dalam menghasilkan pelajar yang bukan hanya pandai dan berperangai juruh malah, boleh ditumpang dunia dan akhirat.

Majlis Konvokesyen ke-4 turut diserikan dengan nyanyian nasyid dari kumpulan nasyid KTD. Upacara penganugerahan diploma kepada para graduan diserikan juga dengan Peanugerahan Anugerah Graduan Terbaik KTD tahun 2016 iaitu Saudari Qonita binti Ahmad Madany, Graduan Diploma Pengurusan Perniagaan (DPP) yang berasal dari Indonesia. Sebagai penerima Anugerah utama KTD sempena majlis Konvokesyen ke-4, Qonita, turut memberi ucapan beliau mewakili kawan-kawannya memohon maaf dan berterima kasih kepada semua barisan pensyarah yang telah memberi tunjuk ajar sepanjang beliau dan rakan-rakan berada di KTD. Majlis turut menyaksikan bacaan ikrar graduan yang diketuai oleh Saudara Muhammad Farhan Zaini. Majlis  berakhir dengan penyampaian cenderamata kepada YBhg. Dato’ (Dr.) Hussamuddin bin Yaacub.

TAHNIAH Diucapkan kepada semua Graduan.

graduasi bergerak keluar dewan   Qonita menerima segulung diploma dan Anugerah Graduan Terbaik 2016   ikrar graduan-graduan KTD 2016